Sejarah

BATU BERSURAT
TAMAN IMPIAN JAYA ZON 2 : TAMAN ATAS KAYANGAN

* * * * * * *

1.1                   Terletak di Benua Asia di Selatan Semenanjung Tanah Melayu dengan jarak kira-kira 8km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, 18km dari Bandar Kulai, 31km dari Pusat Bandaraya Johor Bahru, 36km dari Kota Iskandar Nusajaya, 39km dari Bandar Kota Tinggi, menjadikan kawasan ini termasuk dalam Wilayah Pembangunan Iskandar atau lebih dikenali dengan nama Iskandar Malaysia yang merupakan Wilayah Pembangunan terpenting di Malaysia yang dijangka akan menyumbang lebih 35% atau 1/3 daripada hasil negara pada tahun 2020.

1.2                   Pembangunan Kawasan Perumahan Taman Impian Jaya telah dimajukan oleh Syarikat SIJORI Sdn. Bhd. di atas tanah asal yang dimiliki oleh penduduk Kampung Pemuda Jaya iaitu pendudukan awal kaum Melayu di kawasan Seelong sekitar tahun 1975 bagi mengimbangi kedudukan kaum Cina di kawasan sekitarnya hasil dari usaha merapatkan jurang perpaduan antara kaum yang tercetus pada peristiwa berdarah pertengahan tahun 1969.

1.3                   Projek rintis pertama Syarikat SIJORI adalah di Jalan-jalan Impian Ria iaitu di kawasan lembah bukit (Taman Bawah Bayu). Perumahan di kawasan ini adalah rumah teres 1 tingkat di kedudukan terkebelakang dengan keluasan 24’ x 75’ berharga serendah RM75,000.00 sahaja iaitu ditawarkan pada tahun 1999 dan siap serta mula diduduki pada tahun 2002. Antara pendudukan terawal adalah En Izam dan Pn Norezmi (6 JIR 17). Waktu ini hanya jalan utama sahaja dijadikan pintu keluar masuknya.

1.4                   Manakala penduduk Taman Impian Jaya Fasa 3E mula mendiami kawasan perumahan di Jalan Impian 2/17, 2/18, 2/19 dan 2/20 di kawasan puncak bukit (Taman Atas Kayangan) pada penghujung  tahun 2004 setelah dimajukan bermula tahun 2001 dengan bilangan rumah teres 1 tingkat Kos Sederhana Tinggi sebanyak 130 unit. Harga ditawarkan adalah antara RM103,000.00 setelah ditolak diskaun bumiputera hingga RM280,000.00 bagi lot penjuru milikan antarabangsa dengan bukaan 24’ x 75’ (lot pertengahan).

1.5                   Antara barisan penduduk terawal mendiami perumahan Fasa 3E ini ialah En Md Noor (JI 2/17), Pak Ibrahim (JI 2/19), En Rosli Nasir (JI 2/19), En Khir (JI 2/19), En Rosli Onn (JI 2/18), En Rozali (JI 2/18), En Marsudi (JI 2/19) dan En Baharuddin (JI 2/18). Sebahagiannya menghuni taman ini meskipun bekalan air dan elektrik belum disambungkan lagi. Ustaz Ahmad Dhiauddin berpindah masuk lewat setahun iaitu pada November 2005.

1.6                   Kemudian pada awal tahun 2006, sebanyak 60 unit lagi rumah teres 2 tingkat telah disiapkan iaitu di Jalan Impian 2/17, 2/18 dan 2/19. Antara yang terawal mendudukinya ialah En Zaidi (JI 2/19).

1.7                   Kemudian pada sekitar tahun 2007, perumahan teres 1 tingkat di Jalan Impian 2/4 dan 2/5 sebanyak 45 unit pun siap dibina dan mula dihuni. Antara penduduk terawal mendiaminya adalah En Halim (JI 2/4), En Halim (JI 2/5) dan En Rohaizad (JI 2/4).

1.8                   Kini 235 unit rumah telah disiapkan dengan sebuah taman rekreasi terletak di sempadan  Jalan Impian 1/14 dan Jalan Impian 2/22 (disempurnakan kira-kira 80%) serta sebuah Pondok Pengawal terletak di persimpangan Jalan Impian 1 ke Jalan Impian 2/18.

1.9                   Kepesatan penduduk ini menggamit usaha penyatuannya sehingga En Rosli Onn (JI 2/18) dan En Rozali (JI 2/18) menganjurkan mesyuarat besar pertama di rumah En Rozali sendiri pada pertengahan tahun 2005 bagi membincangkan hal ehwal penduduk dengan kepadatan penghuni hanya kira-kira 40 Ketua Keluarga. Jawatankuasa ini meskipun tidak berdaftar secara rasmi dengan mana-mana Jabatan namun telah menyumbang besar terhadap perjalanan kehidupan masyarakatnya terutamanya melibatkan aspek keselamatan dan kebajikan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

1.10               Pada tahun 2007, hasil pakatan dan persetujuan para penduduk di TIJ Fasa 3E serta dengan sedikit dorongan kuat Pegawai Perpaduan Negeri maka terbentuk suatu Jawatankuasa Penaja bagi menubuhkan KRT TIJ Fasa 3E yang dipimpin oleh En Marsudi b Ahmad Nasir (41 JI 2/19) bersempena acara sambutan Aidilfitri. Pada masa tersebut kira-kira 80 buah keluarga telah berpindah masuk di mana acara Marhaban dari rumah ke rumah hanya mengambil masa 3 malam sahaja untuk diselesaikan.

1.11               Tahun 2007, Jawatankuasa dimaklumkan terdapat kesukaran untuk diluluskan penubuhan KRT baru dan pada masa yang sama pernah terdapat Jawatankuasa KRT TIJ yang telah tidak lagi aktif bagi tempoh 3 tahun. Sehubungan itu, disarankan untuk sementara bagi Jawatankuasa ini mengaktifkan sahaja KRT yang ada dengan menukar senarai nama jawatankuasa yang baru dan dibuka akaun kewangan baru kerananya tanpa memindah atau mengambil apa-apa walau sesen pun daripada akaun lama.

1.12               Maka berjalanlah aktiviti KRT TIJ dengan makmurnya seperti menganjurkan Majlis Sambutan Maal Hijrah, Program Marhaban dari rumah ke rumah, Sukaneka, Maulidul Rasul, Sambutan Hari Kemerdekaan, Gotong Royong Kebersihan Kawasan, Pengurusan Jenazah, Kumpulan Yasin dan Tahlil, Majlis Pertunangan dan Perkahwinan, Skim Rondaan Sukarela, mengurus Khidmat Pengawal  Keselamatan dan lain-lain.

1.13               Selain daripada itu, Jawatankuasa KRT turut memainkan peranan utama membuka sekolah agama (2007) bagi menyelesaikan isu kepadatan murid di Sekolah Agama Kg Maju Jaya, di bangunan kayu yang menjadi dewan orang ramai dan turut berfungsi sebagai bilik mesyuarat penduduk Kg Pemuda Jaya dengan ihsan mulia JKKK Kg Sinaran dan Rangkaian serta JKKK Kg Pemuda Jaya.

1.14               Jawatankuasa KRT TIJ membantu program-program anjuran Sekolah Agama Ibnu Sina yang digerakkan oleh En Marsudi dan Ustaz Ali Akbar (JI 2/20) dan menghadiri majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan, Badan Berkanun dan orang perseorangan di sekitar TIJ.

1.15               KRT TIJ ini juga turut mendapat bantuan daripada JKKK Kg Sinaran dan Rangkaian iaitu termasuk Kg Pemuda Jaya dan Taman Impian Jaya terutama daripada Ketua Kampungnya iaitu Tok Muhammad b Sadini (Kg Pemuda Jaya) yang begitu prihatin dan memahami masalah setempat.

1.16               Disangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari; pada Disember tahun 2011, penduduk TIJ Taman Bawah Bayu telah memajukan permohonan bagi mengaktifkan semula KRT di kawasan mereka dengan persetujuan En Rizal, Pegawai Perpaduan Daerah Kulaijaya.

1.17               Maka setelah dibincangkan secara aman harmoni, beliau telah mengarahkan agar Jawatankuasa KRT TIJ sedia ada seramai 25 orang dibubarkan dan pada masa yang sama dianggap sebagai Jawatankuasa Penaja bagi Permohonan KRT TIJ Zon 2 berkuatkuasa pada tarikh pemilihan Jawatankuasa baru sesi 2011-2013 iaitu pada 01.11.2011 dengan diketuai oleh pengerusinya Ustaz Ahmad Dhiauddin Bin Salimin (74 JI 2/19). Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

1.18               Permohonan yang lengkap telah dihantar ke Pejabat Perpaduan Daerah Kulaijaya pada tanggal 01.02.2012 dan diluluskan oleh Yang Berbahagia Dato’ Azman@Azman Amin Bin Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri pada tarikh mula 13.02.2013 di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 Notis Penetapan Kawasan Rukun Tetangga Di Bawah Seksyen 5 dengan No. Notis Penetapan RT01106832, iaitu sebagaimana suratnya bertarikh 15.02.2013 no. rujukan JPN 02/519/472 Klt21/RT/01(50).

1.19               Tanggal 16 Mac 2013 bakal melakar satu sejarah baru bagi penduduk TIJ Di Atas Kayangan kerana akan memilih 30 orang Jawatankuasa KRT TIJ Zon 2 yang pertama. Semoga Jawatankuasa ini akan berkhidmat dengan penuh semangat perpaduan dan kemesraan.




Ditulis oleh,

(AHMAD DHIAUDDIN BIN SALIMIN)
Pengerusi Jawatankuasa Penaja KRT TIJ Zon 2
Daerah Kulaijaya, Johor


Tarikh : 13.3.2013 (5.49 ptg)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan